Hak Muslim: Islam tak anggap wanita kelas dua
Wednesday, July 25th, 2007TIDAK dinafikan isu kedudukan wanita dan lelaki selalu menjadi perbincangan
kerana banyak tulisan bukan memberi lebih kefahaman tetapi menyebabkan kita
lebih keliru seperti yang dinyatakan. Allah tidak membezakan lelaki dan wanita
dari segi kehormatan, kedudukan di sisi undang-undang dan kedudukan dari
sisi-Nya.
Perbezaan di sisi Allah hanyalah semata-mata berdasarkan
ketakwaan seseorang tidak kira dia lelaki ataupun wanita. Dengan kata lain,
seorang lelaki tidak diberi keistimewaan masuk syurga semata-mata kerana dia
lelaki, atau seorang wanita dimasukkan ke neraka kerana dia wanita. Tetapi amal
ibadat, ketakwaan dan ketaatan yang dipandang Allah, bukan jantina seseorang.
Namun begitu, ada perbezaan dari segi fungsi dan peranan wanita serta
lelaki. Secara adatnya, wanita memikul tanggungjawab atau fungsi berbeza dengan
lelaki. Wanita dicipta dengan susuk tubuh badan tidak serupa dengan lelaki.
Wanita mengandung selama sembilan bulan, mengalami sakit sewaktu melahirkan
anak, mempunyai sifat keibuan dan sering kali mengutamakan anak lebih daripada
diri sendiri.
Bagi insan yang rasional tentu dapat memahami dari aspek
ini bahawa ada perbezaan fungsi antara lelaki dan wanita. Walaupun sedemikian,
martabat wanita tidak diletakkan di bawah ataupun di atas lelaki. Kedua-dua
jantina saling lengkap melengkapi dan penting bagi pembinaan institusi keluarga
bahagia serta masyarakat harmoni.
Menyamakan fungsi kedua-dua jantina ini
menyebabkan masyarakat hilang arah tuju, melawan sifat semula jadi dan
mengelirukan orang ramai. Lelaki tetap lelaki dan wanita tetap wanita dan
sama-sama memainkan peranan masing-masing dalam mencari keredaan
Allah.
Oleh kerana ada perbezaan peranan dan fungsi itulah maka
undang-undang Islam mengiktiraf peranan masing-masing dalam bidang
masing-masing. Umpamanya, dalam bidang faraid al-Quran jelas menyebut mengenai
pembahagian itu.
Dalam memahami hukum Allah, ada hukum bersifat qati’e
dan zanni. Qatie bermaksud hukum bersifat putus, mutlak dan kita tidak diberi
hak untuk mentafsirkan dengan maksud lain daripada yang disebut.
Tetapi
hukum zanni tidak bersifat putus, manusia diberi hak mentafsirkan dengan
menggunakan akal yang benar. Saudari boleh merujuk kepada ustaz berhampiran
untuk memahami dengan lebih lanjut. Hukum pusaka dalam Quran menyebut jumlah
yang bersifat qatie di mana disebut satu perdua, satu perempat, satu perlapan
dan sebagainya. Ia adalah putus dan kita wajib menerima, beriman dan patuh
sebagai lambang ketaatan kepada Allah.
Namun, bagi memahami kenapa ada
perbezaan pembahagian pusaka, kita boleh mengkaji peranan lelaki dan wanita
dalam kekeluargaan Islam. Seorang lelaki bertanggungjawab menyara keluarganya
dalam apa keadaan sekalipun. Jika tidak berkemampuan, maka keluarga sebelah
lelaki wajib membantunya.
Oleh itu, jika lelaki mendapat pusaka dua kali
ganda daripada wanita, pusaka itu perlu diagihkannya kepada orang di bawah
tanggungannya seperti isteri dan anak. Berbeza apabila seorang wanita menerima
pusaka, dari segi hukum, harta itu adalah kepunyaannya sendiri secara total,
suami dan anak lelaki tidak berhak kepada harta itu.
Suami tidak boleh
menuntut pusaka itu sebagai harta sepencarian. Oleh itu, walaupun secara luaran
seolah-olah lelaki menerima lebih banyak pusaka, tetapi hakikatnya setelah
ditolak tanggungan, lelaki sebenarnya menerima kurang daripada
wanita.
Begitu juga keadaannya dalam isu talak. Walaupun suami boleh
melafazkan talak tetapi Islam tidak pernah memberi jalan supaya lelaki
menceraikan sesuka hati. Rasulullah SAW menyebut, “Perkara halal tetapi dibenci
Allah adalah talak.”
Dalam keadaan suami menceraikan isterinya tanpa
sebab munasabah, suami itu menanggung dosa menzalimi isteri, dia
bertanggungjawab membayar sagu hati perkahwinan atau mutaah kepada bekas
isterinya. Wanita juga boleh mengambil tindakan untuk berpisah dengan kaedah
lain seperti khuluq, fasakh dan taklik.
Ada banyak perkara wanita diberi
keistimewaan dalam Islam kerana peranan yang dimainkan mereka. Umpamanya, urutan
keutamaan mendapat hak jagaan anak adalah wanita dan bapa diletakkan di tempat
ketiga selepas ibu dan nenek.
Wanita tidak pernah dibebankan membayar
nafkah kepada suami ataupun anak walaupun wanita itu kaya atau bekerja dan
mempunyai gaji lumayan. Jika dia memberi dengan reda untuk keluarganya, ia
dianggap hadiah atau pemberian membantu meringankan beban suaminya.
Dalam
Islam kesamaan itu tidaklah bermakna satu sama dengan satu. Persamaan dan
keadilan dalam Islam berlaku apabila kita meletakkan sesuatu di tempat yang
betul ataupun memberikan hak kepada yang berhak. Dalam erti kata lain, hak
persamaan itu diberikan sesuai dengan peranan dan fungsi yang dimainkan
seseorang.
Oleh itu, janganlah terpengaruh dengan dakwaan bahawa
undang-undang Islam mendiskriminasi wanita atau memandang wanita sebagai makhluk
kelas dua. Itu semua tidak benar. Tiada diskriminasi dalam Islam, yang ada
cumalah memberi pengiktirafan terhadap peranan yang dimainkan oleh setiap
golongan.
Namun begitu, setiap orang sama ada lelaki atau wanita perlu
memahami hak dan tanggungjawab masing-masing. Jangan hanya mengambil hak saja
tetapi tidak melaksanakan tanggungjawab. Sikap itu sebenarnya merosakkan Islam
dan memberi gambaran Islam tidak adil. Yang patut dipersalahkan ialah umat Islam
yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya bukannya undang-undang
Islam.
Jawapan disediakan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia
(PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar. Sebarang soalan atau komentar, sila kemukakan ke
exco_pgsm@yahoo.com