Calon….

 

Usai berdoa seperti kelaziman,
dia meraup wajahnya. Sunat selepas maghrib menjadi penutup ibadah senjanya
lewat petang itu. Hajat memang ada untuk sama-sama meraih pahala berganda di
masjid, namun keletihan diri terlebih dahulu merantai keinginan mulia itu.
Serik rasanya beradu kekuatan di padang bola bersama dengan orang Arab. Ganas, agresif dan kasar. Semuanya bersatu dan
berpadu dan membuahkan natijah yang kurang menyenangkannya. Tersungkur jugak
dia dibentes lawan. Tangannya mencapai minyak habbatussauda’ untuk disapukan
pada bahagian yang sudah nampak lebam biru kehitaman. Kakinya hampir saja
kejang.

Aduh! Dia mengeluh. Matanya terpaku pada penanda buku unik yang terselit malu
pada Tafsir Quran. Jamahan matanya menyatakan dalam kiasan nurani penanda buku
itu unik rekaannya. Seunik bicara dan hujah pemberi “book mark” itu. Kemas
dengan kesan “liminate”, berukuran comel 30cm panjang kali 5cm lebar. Kalimah
bertinta ungu itu menarik perhatiannya malah tersemat utuh di hatinya. Terkesan
siapa yang membaca hikmah puitis itu.


“Layakkah kita untuk mengasihi manusia sekiranya kasih dan cinta kita pada
Pencipta manusia itu masih belum mantap. Tepuklah dada tanyalah iman.”

Semusim percutianku sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Yarmouk ini,
sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam pada hatiku. Alasan yang aku
kemukakan semata-mata untuk mengelak apabila Tok Ayah persoalkan tentang jodoh
ternyata membuahkan satu mutiara kenangan. Kenangan yang menautkan dua hati
melalui penyatuan idea mengenai CALON SOLEHAH.

“Mencari seorang calon isteri yang solehah bolehlah kita umpamakan sebagai
mencari gagak putih. Semakin ia bernilai maka lazimnya semakin susah untuk kita
dapatkan. Agaknya inilah penyebab ramainya anak muda yang masih mencari-cari
jodoh sedangkan umur semakin meningkat…lewat menunaikan seru,”

“ Hafiz, kamu tidak mahu berkahwin ke?” eh, tiba-tiba pula Tok Ayah mengutarakan
soalan cepu mas ini. Pengajian memang sudah tamat namun hajat di hati ingin
menyambung ke peringkat sarjana masih segar.

“Bukan tak berkeinginan Tok Ayah tapi..hajat nak mencari yang solehah. Biar
dunia tidak berat sebelah,” harap-harap inilah alasan yang agak kukuh. “Nak
cari yang benar-benar solehah, bukanlah satu usaha yang mudah. Nak yang solat
di awal waktu, hormati ibu dan ayah, pandai mengaji Quran, menutup aurat..ish,
banyak sungguh ciri-ciri kamu Hafiz..alamat, sampai Tok Ayah berumah kat batu dua
lah baru sampai hajat..”

“ Susahlah Tok Ayah…yang sipi-sipi ada lah jugak jumpa…”sempat juga aku
melontarkan idea spontan aku. Tok Ayah hanya menggeleng.

Pertemuan dengan Raihanah berlaku secara tidak sengaja, ketika bersama-sama Tok
Ayah singgah ke warung pagi itu. Suka benar Tok Ayah dengan nasi lemak air
tangan ibu saudara Raihanah. Dia kurang mengenali siapa Raihanah. Malah
daripada cerita ibu saudaranya itu Raihanah adalah anak abangnya yang tinggal
di Kedah. Tamat pengajian gadis itu bermastautin sementara di kampungnya. manis
tapi jarang tersenyum. Kulit asianya terlindung di sebalik baju t-shirt labuh
paras lutut dan bertangan panjang itu, dengan tudung turki bercorak flora.
Tiada yang istimewa sangat! Namun peristiwa malam itu di surau ternyata
membuktikan bahawa gadis itu bukanlah sebarangan gadis. Mempunyai daya tarikan
pada yang tahu menilai mutiara wangian syurga ini.

“calon isteri yang solehah…orang lelaki nak yang solehah sahaja, tapi
kadangkala diri sendiri dia tak check betul-betul,” ngomel seorang gadis ketika
perbincangan ilmiah pada malam itu apabila Tok Ayah menyatakan mengenai topic
tersebut. Aku sekadar tersenyum. Kelaziman kuliah maghrib lebih berbentuk
ilmiah untuk menarik golongan muda bersama-sama meluahkan pendapat. Mendengar
kata-kata gadis itu aku tersenyum sendirian.
“Raihanah ada sebarang pendapat?” soal tok ayah apabila gadis bertelekung putih
itu hanya sekadar menjadi pemerhati debat tidak formal itu.
“sekadar pendapat tok ayah…jika kita nak bakal zaujah kita seorang yang
solehah, yang bertaqwa saya ada satu tips,”riuh seketika.
“sebelum kita kaji dan telek bakal isteri kita paling afdal kita telek diri
kita dulu. Teropong dulu takat mana iman dan taqwa kita,” aku sedikit terkelu.
Macamana agaknya? Namun persoalan itu hanya berlegar-legar di fikiran kosong
aku, tidak terluah.
“nak dapat bakal isteri yang solehah, paling penting syarat utamanya solehkan
dulu diri anda. Di sinilah dapat kita kaitkan konsep bakal isteri yang solehah
untuk bakal suami yang soleh. tabur ciri-ciri suami soleh dalam diri. Siramkan
sahsiah mulia dengan sifat mahmudah lelaki soleh. Aku mengangguk tanda setuju
dengan pendapat bernas itu.
“tapi, ada jaminan ke kita akan mendapat bakal isteri yang solehah?” ada qariah
muda berani untuk mengutarakan soalan.
“Bergantung pada diri kita sebenarnya. Suburnya ciri-ciri lelaki soleh pada
diri kita insyaAllah akan meningkatkan iman dan taqwa kita. Semakin cerahlah
peluang untuk kita mendapat calon yang solehah. Jodoh adalah kerja Allah.
Ingatlah jaminan Allah dalam surah Nisa’ bahawa lelaki yang soleh telah
ditetapkan akan dipertemukan dengan perempuan yang solehah. Lelaki yang mukmin
untuk perempuan yang mukminat.”
Raihanah melepas lelah barangkali. Lalu dia tersenyum. “ teruskan usaha mencari
calon yang solehah. Tapi, dalam masa yang sama tingkatkan nilai kesolehan anda.
Inilah strategi serampang dua mata, macam DEB. Cuma satu nasihat saya, jangan
letakkan syarat bakal zaujah itu terlalu tinggi,”
“Kenapa pulak?” Tanya Tok Ayah. Eh, Tok ayah pun mengambil bahagian juga?
“bukankah hakikat sebuah perkahwinan adalah saling melengkapi. insyaAllah jika
ada yang kurang pada bakal zaujah, tampunglah selepas perkahwinan tersebut. Hal
iman dan taqwa janganlah diambil remah. Jangan nak berlebih dan berkurang dalam
hal mencari pasangan kita. Mengambil kata-kata daripada laman Kemudi hati dalam
Anis, kebanyakan lelaki menilai dan meletakkan piawaian yang tinggi untuk bakal
zaujahnya tetapi merendahkan piawaian itu untuk dirinya…itu adalah silap
tafsir.”
Alhamdulillah, sekarang terbuka sudah pemikiran ruang lingkup. Aku tersenyum.
Terima kasih Raihanah. Tok Ayah juga tersenyum. Ada hikmah di sebalik semua ini.

“hafiz, ada surat untuk anta
daripada Malaysia…”kenyitan
mata Syahid sewaktu menyerahkan surat
bersampul ungu itu diikuti dengan gelak tawa rafiknya yang lain mematikan
lamunannya.

Senyuman yang berbunga di bibir Syahid seolah-olah memberitahunya bahawa warkah
itu sudah pastinya daripada tunangannya, Raihanah.. calon pilihan Tok Ayah, dan
juga hatinya yang kini sedang meneruskan pengajian peringkat sarjana
Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa. Alhamdulillah, gadis inilah
yang telah menemukannya titik noktah pencarian calon solehah.

Syukur Ya Allah.

 


 

Artikel ini datangnya dari: Portal Ukhwah
http://www.ukhwah.com/

URL untuk Artikel ini:
http://www.ukhwah.com/article.php?sid=2108

 

Leave a Reply