Air mata cinta
Semenjak aku bekerja sebagai guru ni. Aku cukup risau mendengar khabar
angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa tu. Jawatan ni pun hanya sebagai
guru sandaran sahaja setelah aku beberapa bulan menjadi penganggur
terhormat dengan memegang ijazah dari UPM. Itu pun setelah aku dah mula
jenuh mendengar leteran abah dan rungut ibu kerana mereka kata aku ni
memilih kerja sangat.
Dah tak tahan rasanya, nasib baiklah aku ada kawan lama yang bekerja di
Pejabat Pendidikan Daerah yang membuka tawaran pengambilan guru
sandaran. Jadi, peluang untuk mengelakkan diri dari terus menjadi bahan
rungutan ini tidak kulepaskan begitu sahaja.
Sememangnya aku tahu bahawa diri aku ni tidak layak untuk menjadi pendidik, tapi apa boleh buat.
Sudah
keadaan yang memaksa aku untuk melupakan ketidakbolehanku itu. Borang
permohonan aku isi ala kadar aje, tidak mengharapkan sangat. Tapi bila
dah rezeki itu telah ditentukan milik kita, dan ia memang benar akan
menjadi milik kita tanpa kita sangka sekalipun. Aku menerima surat
jawapan dengan perasaan berbelah bagi juga sebab aku takut nanti aku
tak mampu untuk menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan atas
bahuku ini. Namun, abah dan ibu mula tersenyum mendapat berita itu
kerana mereka tahu anak gadis mereka ini memang boleh memikul amanah
itu.
“Ah, mereka tidak tahu keadaan aku sebenarnya!” Bisik hati
kecilku. Walau bagaimanapun, sekurang-kurangnya surat jawapan itu akan
menyelamatkan aku untuk seketika. Namun aku sendiri pun tidak tahu
setakat mana ia mampu menyelamatkan aku. Aku ada mendengar desas–desus
dari adik-adik yang mengatakan bahawa ada orang telah datang merisik
aku. Terkejut gila aku dibuatnya. Aku masih belum memikirkan lagi untuk
menjadi isteri, suri rumah tangga apatah lagi ibu. Lagipun aku masih
belum bersedia untuk memasuki alam rumah tangga. Harap-harap, tawaran
guru ini akan membantu menyelamatkan aku yang dalam keadaan genting dan
kritikal ini.
Sekurang-kurangnya aku ada alasan untuk menolak
pinangan sesiapa sahaja dengan mengatakan bahawa aku ingin menumpukan
perhatian pada kerjaku terlebih dahulu untuk mencari pengalaman.
Lagipun aku tahu perangai abah dan ibu yang tidak pernah memaksa aku
untuk memenuhi kehendak mereka. Cuma harapan mereka itu yang akan
membuatkan aku jadi serba salah untuk tidak memenuhinya.
“Bila
angah nak lapor diri?” Tanya abah sewaktu kami sedang makan malam.
Makan malam bersama-sama merupakan perkara penting dalam keluargaku.
Sebab itulah hubungan kami bertambah mesra.
“Minggu depan bah.”. aku
telah diarahkan untuk melaporkan diri di Sekolah Menengah Agama
Falahiah di Pasir Pekan, Kelantan. Itulah sebuah negeri yang tidak
pernah kujejaki sepanjang hidupku hingga kini. Namun aku akan
memecahkan rekod itu minggu depan.
“Angah nak abah hantarkan
ke?” Memang aku dah jangka abah akan menawarkan pertolongannya itu.
Abah tidak pernah membiarkan aku kesusahan keseorangan tanpa bantuannya
sampailah aku dah besar panjang dan keluar universiti begini. Abah
seorang yang cukup penyayang pada kami anak-anaknya. Dia selalu
memanjakan kami dalam lingkungan batas-batas tertentu.
“Tak
payahlah bah. Angah pergi naik bas saja dengan kawan. Kawan angah pun
kena mengajar kat situ juga.” Jelas ku. Aku tak nak menyusahkan abah.
Jauh juga perjalanan dari Selayang ni ke sana. Kata orang, dalam tujuh
atau lapan jam juga. Aku dah banyak menyusahkan abah. Sekarang aku mahu
berdikari sendiri dan aku mahu tunjuk dan buktikan pada abah yang anak
gadisnya ini mampu untuk melakukan sesuatu dengan usaha sendiri.
Banyak
perkara yang terpaksa aku fikirkan. Terutamanya tentang keadaan tempat
mengajarku nanti. Negeri yang tidak pernah kujejaki bakal menyambut
kedatanganku sebagai musafir yang tidak tahu bila akan kembali ke
tempat asalnya. Namun kupercaya bahawa ia pasti bangga menyambutku
sebagai tetamunya.
“Jaga diri elok-elok kat tempat orang tu.
Nanti jangan lupa selalu hubungi ibu dan abah kat sini.” Pesan ibu
sewaktu aku nak bertolak ke Kelantan. Keluarga menghantar aku ke
Hentian Putra. “Jangan lupa bawa balik ‘awe’ Kelantan tau!” Usik adik
lelakiku. Adik aku seorang ni suka sangat menyakat aku. Kalau cakap
dengannya, ada saja hal-hal yang membuatkan kami tidak bersependapat.
Namun aku tahu, sejauh mana kasih sayang adikku itu terhadap aku.
“Jaga
perangai elok-elok. Tunjukkan budi pekerti yang mulia, barulah semua
orang sayang pada kita walau di mana sahaja kita berada.” Itu pesan
terakhir abah sebelum aku melangkah menaiki bas. Aku cium tangan abah
dan kupeluk ibu. Semoga berkat doa restu mereka. Aku bisa menghadapi
dan mendepangi arus kehidupan ini. Kasih dan sayang mu abah dan ibu
akan kubawa ke mana-mana sahaja selama mana kaki ini terus melangkah.
“Aah.”.
aku menyeka air mata sewaktu melihat lambaian abah, ibu dan adik-adik
tatkala bas yang kunaiki mula meninggalkan Perhentian Putra itu. Sedih
juga aku untuk berpisah dengan mereka. Keluarga yang aku cukup bahagia
dengan kasih sayang yang tercurah.
“Kita nak tinggal kat mana
nanti?” Tanyaku pada Nadia, kawan yang senasib denganku. “Tak payah
risau. Pak long aku dah janji nak uruskannya untuk kita.” Nasib baik
juga si Nadia tu ada bapa saudara kat sana. Kalau tak, macam manalah
nasib kami nanti.
“Pagi nanti, dia yang akan datang jemput kita
kat stesyen bas.” Sambung Nadia lagi. Lega hatiku bila mendengarnya.
Risau juga aku kalau tak ada orang yang ambil nanti sebab kami akan
sampai di Kota Bharu sebelum subuh. Pagi-pagi begitu kat manalah kami
nak gagau. Aku pun tak terfikir akan dihantar mengajar di Kelantan tu.
Bas
yang kami naiki tiba di stesyen bas Kota Bharu sewaktu azan subuh
berkumandang dari menara Masjid Muhammadi, sebuah masjid yang tertua di
negeri itu. Kedatangan ku ini disambut dengan laungan kalimah suci
membesarkan Tuhan. “Semoga ia menjadi suatu petanda yang baik buat ku.”
Bisik hati kecilku. Bandar ini sudah mula bangkit dari lena manusia.
Orang ramai yang baru tiba, berduyun-duyun menuju ke masjid yang
berdekatan.
“Jom, pak long aku dah tunggu tu!” Ajakan Nadia itu
membuatkan bicara hatiku terputus di tengah jalan. Aku membuntuti
langkahnya yang agak kalut sambil memikul sebuah beg pakaian. Aku hanya
membawa barang-barang keperluanku sahaja, yang lain nanti boleh
usahakan bila dah dapat tempat tinggal tetap. Aku harap, tempat
tinggalku nanti tidaklah jauh sangat dari tempat aku mengajar kerana ia
akan memudahkan aku untuk berulang-alik.
“Buat sementara waktu
ni, Nadia dan Idah tinggal kat rumah pak long dulu. Lagi pun bukanlah
jauh sangat sekolah tu dengan rumah pak long.” Pengkhabaran beginilah
yang agak memberatkan hatiku. Selagi boleh. Aku tak nak menyusahkan
sesiapa. Aku lebih senang mempunyai rumah sendiri dari menumpang rumah
orang lain. Apatah lagi tuan rumah yang kita tumpangi itu tidak
mempunyai apa-apa pertalian pun dengan kita. Tapi apa boleh buat,
terpaksalah aku bersabar buat seketika ini.
Di Kelantan,
sekolahnya bermula pada hari Ahad. Cuti hujung minggu pada hari Jumaat
dan Sabtu. Hari ni baru hari Jumaat, jadi lusa baru aku akan melaporkan
diri di sekolah agama tu nanti. Aku pun masih terfikir-fikir tentang
subjek apa yang akan ku ajar nanti. Risau juga aku takut-takut nanti
subjek yang terlalu sukar untuk aku. Lagi pun aku manalah ada
pengalaman menjadi guru ni. Ni boleh dikira bidang terjunlah.
Suasana
pagi di Kampung Laut ini cukup tenang. Kampung yang berada di atas
tebing Sungai Kelantan ini kedudukannya bersetentangan dengan Bandar
Kota Bharu. Kita akan dapat melihat bandar itu dari tebing sungai
Kampung Laut ini. Rumah bapa saudara Nadia ini agak besar juga. Boleh
dikatakan kebanyakan rumah-rumah di kampung ini bertiang tinggi. Ini
bagi mengelakkan daripada ditenggelami air apabila banjir melanda.
Boleh dikatakan bapa saudaranya itu dari kalangan orang berada juga.
aku
agak kepenatan kerana perjalanan yang memakan masa tujuh jam semalam.
Aku tidak sedar bila aku terlena di bilik rumah pak long Nadia tu
selepas solat subuh tadi. Aku tersedar dari lena apabila telingaku
disapa suara yang sayup-sayup kedengaran. “Baru bangun tuan puteri?”
Soal Nadia apabila melihat aku menggeliat kemalasan. Dia baru aje
selesai mandi.
“Letih sangat naik bas semalam.” Alasanku. Segan
juga aku bila memikirkan anak dara yang bangun tengah hari kat rumah
orang ni. Nanti dikata orang anak dara pemalas pulak.
“Suara apa
tu?” Soal aku pada Nadia. “Itu suara orang memberi kuliyah pagi Jumaat
di masjid. kat sini, setiap hari Jumaat ada kuliyah agama di masjid.”
Beritahu dia. Baru aku perasan yang rumah pak long Nadia ni tidaklah
jauh sangat jaraknya dari masjid. Masjid utama Kampung Laut yang
didirikan sebagai mengganti Masjid Lama Kampung Laut yang telah
dipindahkan ke Nilam Puri.
“Kenapa?” Soal Nadia agak kehairanan
bila memerhatikan aku sedang meneliti suara penceramah yang kedengaran
melalui corong pembesar suara masjid itu. “ Tak ada apa-apa. Saja
tanya.” Sebenarnya suara itu telah mengingatkan aku pada seseorang.
Orang yang tidak pernah ku tatapi dan tengok wajahnya. Namun aku
mengenali suaranya. Suara yang suatu ketika dahulu selalu mengganggu
kelancaran dan kelicahan kehidupan kampusku tetapi telah bertukar
menjadi satu suara yang selalu kurindu dan ku tunggu-tunggu untuk
mendengarnya.
“Helo! Boleh saya cakap dengan ustazah Faridah?”
Tanya satu suara di hujung talian sana. “Ustazah Faridah tak ada, tapi
Faridah aje adalah!”. aku agak kehairanan kerana tak pernah seorang
lelaki menelefon aku menanyakan nama Ustazah Faridah. “Ah, samalah tu.”
Jawab suara itu.
“Saya bukan ustazah, awak jangan nak memandai. Siapa awak ni?!” Geram rasanya apabila ada orang cuba untuk mempermainkan aku.
“Tak apalah ustazah. Nanti lain kali saya telefon lagi. "
…”
Talian dimatikan begitu sahaja tanpa sempat aku berbuat sesuatu.
“Aaagh…” Keluh hatiku. Geram. Ada orang cuba untuk mempermainkan aku
dengan panggilan ‘ustazah’ tu. Pada hal aku tak layak langsung untuk
memakai gelaranku. Dari segi pakaian ku yang lebih ku suka mengenakan
seluar panjang atau jeans dipadankan dengan t-shirt lengan panjang dan
skaf saja. Lagipun aku suka dengan gaya begitu yang membolehkan aku
bergerak lincah. Takkan orang macam aku ni dipanggil ustazah. Tak padan
langsung. Ni dah sah orang cuba untuk mempermain-mainkan aku.
Selang
beberapa hari, suara itu menelefonku lagi. Boleh dikatakan semua
gerak-geriku dia tahu. Semacam aku diperhatikan mata-mata gelap dari
Bukit Aman lah pulak. Dah puas aku tanya siapakah tuan empunya suara,
namun banyak dalihnya yang membuatkan aku tidak pernah tahu siapakah
dia. Banyak hal urusan peribadiku cuba dicampurinya. Dari perjalanan
hidup harianku sehinggalah cara aku berurusan dan berpersatuan
termasuklah cara aku berpakaian.
“Siapa awak yang nak cuba
campuri urusan peribadi saya hah?!”. aku mula hilang kesabaran bila dah
semakin melampau langkahnya itu. Namun dia masih mampu untuk bertenang
dengan sikapku yang mula panas itu.
“Memang saya tahu siapa
saya. Saya bukan abang apatah lagi suami ustazah. Tapi tak salah bukan
kalau saya sebagai seorang sahabat cuba untuk menasihati dan memberikan
pendapat?” “Jangan panggil saya ustazah! Saya dah meluat dengan awak!”
“Saya tidak pernah memaksa ustazah memenuhi ataupun mengikuti nasihat
dan pendapat saya. Pilihan keputusan terletak sepenuhnya di tangan
ustazah. Saya tiada hak walaupun sedikit untuk menentukannya.” Dia
tidak menghiraukan amaran dan kemarahanku itu. Dia tetap memanggilku
ustazah.
“Ahh, pergi jahanam dengan ustazah awak tu!” Semburan
kemarahanku itu membuatkan aku mematikan talian telefon bimbitku.
Selepas kejadian itu. Aku tidak lagi menerima panggilan dari suara
misteri itu. Sekurang-kurangnya aku berasa sedikit aman sehinggalah
pada hari ulang tahun kelahiran ku yang ke 24. Satu bungkusan telah
dikirimkan ke alamat rumahku di Selayang. Aku agak berdebar bila
menerima hadiah yang tidak tercatat siapakah nama pengirimnya. Apabila
kubuka balutan kotak hadiah itu, kudapati di dalamnya terdapat sepasang
baju kurung bewarna krim, sehelai busana bewarna meron serta dua helai
telekong yang berwarna pink dan putih. Aku terkejut dengan hadiah itu.
Terdapat dalamnya juga sekeping nota ringkas.
"
……"
Selamat
ulang tahun ke 24 buat Ustazah Faridah binti Mansur. Saya doakan semoga
Allah memanjangkan usia ustazah dengan ketaatan ibadah serta memurahkan
rezeki ustazah dengan yang halal. Amin…..
Pemanggil misteri.
Bagaimana
dia boleh tahu tarikh lahir aku. Macam mana pula di memperolehi alamat
rumahku ini. Orang ini memang gila agaknya. Aku membelek-belek baju dan
telekong yang dihadiahkannya kepadaku itu.
“Cantik juga. Macam dia
tahu pulak tentang warna kesukaan ku.” Bisik hati ku. Tapi macam mana
aku nak memakainya. Baju kurung tu tak kisahlah sebab aku biasa juga
memakainya. Tapi bagaimana dengan busana dan telekong ni? Nanti apa
kata keluarga dan kawan-kawanku. Aah..kacau-kacau.
“Aii.. termenung saja! Terkenangkan orang jauh ke?” Usikan mak cik Gayah, mak long Nadia itu membuatkan lamunanku terganggu.
“Takdelah makcik.” “Sambil masak pun boleh termenung, nanti gulai yang kat atas dapur tu boleh hangit tau.” Sampuk Nadia pula.
“Mana
ada, kamu ni Nadia kalau tak sakat aku tak senang duduk agaknya.” Mak
cik Gayah dan Nadia tersengih mendengar jawapanku itu.
Malam itu
kami semua berjemaah di masjid. Kata mak cik Gayah, malam ni ada ustaz
jemputan yang akan memberikan ceramah tentang Maulidur Rasul. Kami agak
terlewat ke masjid kerana sibuk di dapur. Jadi terpaksalah kami
memenuhi saf belakang. Agak ramai juga kaum wanita yang datang ke
masjid malam ni. Aku bertakbir ratul ihram pun sewaktu imam dah mula
baca surah fatihah. Sekali lagi aku terpana bila mendengar suara imam
membacakan fatihah. Aku rasa seperti pernah mendengar suara itu tapi di
mana yak. Aku bertakbir menjadi makmumnya. Terlalu asyik mendengar
bacaan imam. Alunannya yang mengikut lagu yang biasa dibacakan oleh
Saad al-Ghamidi dan Sudais. Aku rasakan bahawa solat maghribku malam
itu terlalu pendek dan cepat.
Semasa ceramah maulidur rasul. Aku
tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan dan perhatian kerana suara
penceramah itu benar-benar mengganggu ingatanku. “Ustazah nampak sopan
bila berbaju kurung begitu dan lebih bersopan lagi jika berbusana.
Jangan hiraukan apa yang orang kata, tapi ambil hirau tentang apa yang
Tuhan kata”. aku terima mesej itu melalui telefon bimbitku. Memang ku
tahu siapa pengirimnya. Hari itu tiba-tiba saja aku terlintas untuk
memakai baju kurung yang dihadiahkan pemanggil misteri itu sewaktu aku
menghadiri kuliyah. Cuma telekong saja yang ku ganti dengan skaf biasa.
Agak kekok juga sebab dah lama aku tak pakai baju kurung. Itu pun ramai
kawan yang tengok pelik saja pada aku. Pelbagai soalan yang mereka
Tanya, tapi aku buat tak tahu saja. Malas nak layan.
Apa salah baju tu, lagi pun orang yang bagi bukannya aku yang beli.
“Saya
harap ustazah pakai begitu bukan kerana saya, tapi ikhlas kerana
Allah.” Suara itu mengingatkan aku. “Awak ingat awak tu siapa? Saya
pakai tu kerana saya nak pakailah, tak ada kaitan langsung pun dengan
awak.” Tegas aku pada dia. “Baguslah macam tu. Saya harap ustazah akan
terus begini.” Itulah suaranya yang terakhir aku dengar. Selepas itu
aku tidak lagi menerima sebarang panggilan misteri seperti itu
sehinggalah sekarang. Cuma kadang-kadang sahaja aku menerima surat
atapun bungkusan yang tidak tercatat nama pengirim dan alamatnya. Dan
aku pasti, itu adalah ‘dia’. Ke mana sahaja aku pergi, pasti dia tahu.
Seperti
dia sentiasa mengekori dan memerhatikan aku. Sebelum aku bertolak ke
Kelantan pun aku ada menerima satu bungkusan yang bersetemkan luar
negeri. Di dalamnya aku dapati terdapat dua buah buku yang bertajuk
Fitnah Wanita dan Bakal Wanita Syurga. Juga terdapat sekeping nota
ringkas bersama bungkusan itu.
"
…."
Di
harapkan ustazah sudi menerima hadiah dari saya ini sebagai ucapan
tahniah saya kerana ustazah telah terpilih untuk menjadi guru sandaran.
Semoga ada manfaatnya buku ini kepada ustazah.
Pemanggil misteri.
aku
tidak lagi menaruh sebarang kebencian kepada pemanggil itu. Sebarang
hadiah atau pemberian darinya aku terima dengan rela hati.
Sekurang-kurangnya aku tidak payah membeli untuk itu. Teringin juga aku
untuk bertemu dan mengenali siapakah sebenarnya ‘pemanggil misteri’
itu. Misteri sangatkah dia sampai dia tidak mahu memperkenalkan dirinya
kepadaku? Namun aku sangat berharap agar suatu hari nanti aku akan
menemuinya.
“Masa kat masjid lagi mak cik lihat Idah asyik
termenung. Kenapa ni?” Tanya orang tua itu sewaktu kami berjalan pulang
dari masjid
“Tak ada apa-apa lah mak cik. Badan ni yang masih penat
lagi ni.” Alasanku padanya. “Yealah tu. Macamlah aku tak tahu. Nak
sorok kat siapa hah?!” Nadia mula nak buka ‘gelanggang’ denganku.
“Kalau ada pun. Aku ingat kat famili aku sajalah.” Seboleh-bolehnya aku tidak mahu orang lain tahu keadaan sebenarnya.
“Habis
tu si pemanggil misteri tu siapa?” Rupa-rupanya Nadia sudah mengetahui
tentang hal itu. Tapi dari mana dia tahu. Aku rasa. Aku tidak pernah
memberitahu sesiapa pun tentang ‘pemanggil misteri’ itu.
Semenjak
aku menjawat jawatan guru sandaran ni, jadual harianku telah berubah.
Banyak perkara yang perlu aku lakukan sebagai persediaan untuk
mengajar. Aku tak sangka apabila telah diarahkan oleh pihak pentadbir
sekolah untuk mengajar subjek Tasawur Islam untuk tingkatan 4 dan
Pendidikan Islam untuk tingkatan 3. Pada mulanya aku minta ditukar
untuk mata pelajaran lain tapi aku tidak ada pilihan lain. Maka aku
terpaksa menerima panggilan ‘ustazah’ itu. Ah Kenapa ini boleh berlaku.
Sebelum ini, panggilan itu agak terlalu janggal untuk aku. Tapi setelah
beberapa lama aku mengajar. Aku sudah lali dan mungkin boleh juga
dikatakan agak serasi denganku.
Namun aku terpaksa melakukan
banyak perubahan terhadap penampilan dan peribadiku agar ia benar-benar
secocok dengan panggilan itu. Aku tidak lagi selincah di kampus dulu.
Keadaan berpakaian pun sudah berubah. Seluar, jeans dan t-shirt hanya
kat rumah dan apabila bersama keluarga sahaja. Keluar aje dari rumah.
Aku akan mengenakan baju kurung ataupun busana. Skaf telah ku ganti
dengan tudung. Pada mulanya aku agak rimas berpakaian begitu, namun
keadaan yang telah memaksa aku untuk berbuat demikian. Aku benar-benar
berubah. Aku bukan lagi seperti Faridah yang dikenali sewaktu di kampus
dulu. Oleh itu ramai teman-teman rapatku yang agak terkejut dengan
perubahanku ini. Tidak kurang pula yang bersyukur pada Tuhan kerana
telah membukakan pintu hidayahnya kepadaku.
aku juga telah
memaklumkan pada keluargaku, mereka tidak membantah. Malah mereka juga
turut bersyukur. Cuma mereka harap aku melakukannnya atas dasar
kesedaran dan keikhlasan serta istiqamah kerana Tuhan. Bukannya sekadar
hangat-hangat tahi kerbau. Di antara orang yang paling gembira dengan
perubahanku itu ialah ‘pemanggil misteri’ itu.
“Syukur dan
syabas saya ucapkan kerana ustazah telah berubah.” Ucapnya melalui
telefon setelah sekian lama dia tidak menghubungiku melalui telefon.
“Terima kasih saya ucapkan pada awak kerana telah banyak mengubah
peribadi saya.” Ucapku ikhlas. “Itu tugas saya sebagai seorang
sahabat.” “Tapi bilakah saya dapat mengenali siapakah awak yang
sebenarnya?”. aku sememang dah tidak sabar untuk mengetahui siapakah
dirinya yang sebenar. “InsyaAllah, bila sampai ketentuanNya nanti tetap
ustazah akan tahu juga siapa saya.” Itulah jawapan yang selalu aku
perolehi darinya apabila soalan demikian aku kemukakan.
“Dah lama awak tak hubungi saya, ke mana awak pergi?” Tanyaku.
“Saya
keluar negeri, sambung pengajian.” Patutlah surat dan bungkusan darinya
dulu bersetemkan setem Australia. Itulah pertama kali aku dengar
suaranya setelah kira-kira lebih dua tahun dia tidak menelefonku. Hanya
surat yang menjadi perantaraan. Itupun suratnya untuk aku sahaja. Aku
pula tidak pernah mengirimkan sepucuk surat pun kepadanya kerana aku
tidak tahu kepada siapa patut aku tujukan dan alamatnya pun entah di
mana. Dia tidak pernah memberikannya kepadaku.
Malam itu, ibu
ada menelefonku. Dia tanya sama ada aku balik atau tidak pada cuti
tahun baru cina nanti. Aku kata, kalau ikutkan perancanganku memang nak
balik. Tapi tak tahulah agaknya-agaknya ada hal pulak nanti. “Kenapa?”
Soalku pada ibu. “Ada orang nak datang tengok angah.” Jawapan ringkas
ibu itu telah cukup untuk membuatkan aku terkejut besar. Aku memang tak
sangka. Jantung ku berdegup kencang. “Angah belum bersedia lagi untuk
berumah tangga bu.”. aku masih mahu bebas dari ikatan itu. “Ibu tak
paksa angah untuk terima, tapi baliklah dulu. Kita tengok, lepas itu
angah yang buat keputusannya nanti. Ibu dan abah terima saja.” Pujuk
ibu. Terasa sedikit kekuatan dengan jaminan yang diberikan ibu itu.
Kalau
boleh. Aku ingin menentukan sendiri pasangan hidupku tanpa sebarang
paksaan dari kedua orang tuaku. Semenjak dari pengkhabaran ibu itu. Aku
begitu berdebar untuk menunggu cuti tahun baru cina yang hanya tinggal
seminggu sahaja lagi. Aku lebih banyak termenung memikirkan hal itu.
Setiap kali aku balik dari mengajar ke rumah sewa aku di Kampung Kota
Kubang Labu. Aku lebih suka bersendirian dalam bilik. Nadia merasa
pelik dengan perubahan mendadak ku itu. Aku menceritakan sebabnya
kepada Nadia.
“Bersabarlah. Apa nak dirisaukan, ibu engkau dah
beri jaminan bahawa dia tak memaksa. Jadi pilihannya di tangan engkau
sendiri.” Nasihat Nadia. “aku risau sebab aku takut untuk mengingkari
harapan mereka.”
Mulai hari itu juga. Aku memohon petunjuk Allah dalam menentukan dan memberikan kekuatan kepadaku.
Ya
Allah, sekiranya Engkau telah menentukan jodohku, maka aku harap Engkau
mengurniakan aku seorang suami yang soleh. Mampu membimbing aku dan
bakal zuriat yang akan lahir dari rahimku ini.
Ya Allah, bantulah
aku dalam menentukan perkara ini. Janganlah Engkau biarkan diriku
sendiri menentukan perjalanan hidupku walau hanya sekelip mata. Aku
memohon dariMu kebaikan yang berpanjangan dan bahagia yang berkekalan.
Kepulanganku
ke rumah di Selayang disambut gembira dengan seisi keluarga. Semuanya
berkumpul, tambah-tambah lagi kerana cuti tahun baru cina. Lagipun
mereka semua ingin tahu siapakah gerangan yang mahu datang itu. Abang
long, abang chik semua balik. Kakak ipar dan anak buah juga tidak
ketinggalan untuk turut serta.
“Tak lama lagi, Man dapat abang
iparlah. Ibu kan!” Itu suara adikku si Rahman. “Ish kamu ni Man. Tak
boleh ke kalau tak usik angah tu.” Ibu cuba membelaku. Aku hanya
melayan perasaan. Perasaanku berbelah bagi. Entah apa keputusan yang
akan kuberikan kepada abah dan ibu nanti. “Ibu tak memaksa angah untuk
menerimanya. Angah yang akan menentukannya sendiri.” Ibu mengulangi
jaminannya padaku sewaktu dia melihatku murung.
“Along terima
siapa sahaja yang menjadi pilihan angah untuk jadi suami. Suami angah
adalah adik ipar along juga.” Kata along sambil menepuk-nepuk bahuku.
“Acik pun macam tu juga. Kami nak tengok angah bahagia. Itu sudah
memadai bagi kami.” Sokong Acik pula. Sekarang aku benar-benar yakin
bahawa aku memiliki sepenuh kuasa untuk menentukannya. Semua keluarga
menyokong aku. Sekurang-kurangnya ia membuatkan aku berasa lega.
Semua
ahli keluargaku sibuk untuk menyediakan jamuan keluarga sempena
kedatangan tetamu yang begitu mendebarkan hatiku itu. Mengikut kata
ibu, mereka akan datang lepas maghrib dan akan makan malam bersama-sama
keluargaku. Apabila masuk waktu maghrib, semua ahli keluargaku
berjemaah di rumah. Abah yang jadi imam dan along yang jadi bilal. Cuma
aku saja yang terkecuali sebab uzur. Jadi kenalah aku tengok-tengokkan
Ain, anak saudaraku yang baru berumur 9 bulan. Makin tak keruan aje
rasanya jiwa ini. Tapi bila memikirkan yang semua ahli keluarga
menyebelahiku. Aku rasa bersemangat. Aku begitu gembira bila berpeluang
untuk berkumpul dengan seluruh ahli keluargaku ini. Aku sangat bangga
mempunyai keluarga yang sebahagia ini. Dan doaku semoga keluarga yang
akan kubina nanti sekurang-kurangnya akan menjadi seperti keluargaku
ini.
Sewaktu, azan Isyak berkumandang dari Masjid Selayang
kedengaran ada orang memberi salam di luar rumah. Aku bangkit bergegas
ke bilikku. Aku malu, takut dan segan. Semua jenis perasaan mula
berkumpul di hati ini. Badanku terasa seram sejuk dan panas
serta-merta. Aku tak tahu apa yang mereka kat luar tu bincangkan. Cuma
terdengar suara hilai ketawa sahaja. Selang beberapa minit. Aku
terdengar suara orang bertakbir.
“Seperti suara yang pernah
kudengar.” Bisik hatiku sendirian. Kemudian, diikuti dengan bacaan
surah al-Fatihah yang dialunkan mengikut bacaan Saad al-Ghamidi. “Ya
Allah! Siapakah dia?” Hatiku semakin kuat tertanya-tanya siapakah
sebenarnya empunya suara. Seperti suatu suara yang selalu kudengar.
Seperti suara yang sering menasihatiku itu.
“Ya Allah. Aku
bermohon kepadaMu dengan kebaikan. Kurniakanlah aku suatu kurniaan di
sisiMu yang boleh membahagiakan seluruh kehidupanku. Tetapkanlah kasih
sayang di hati ini agar tidak goyah dalam mengharungi arus deras ini.”
“Ya Allah! Kiranya dia adalah utusan dan ketentuanMu buatku. Aku harap
Engkau permudahkanlah dan bukakanlah hatiku ini untuk menerimanya
dengan ikhlas. Jika ia ditakdirkan bukan milikku, maka jauhkanlah
hatiku darinya. Hilangkanlah bayangan wajahnya dari tatapan dan
pandanganku agar hatiku bisa tabah menerimanya.” “Ya Allah!
Sesungguhnya aku redha dengan segala ketentuanMu buatku. Amin….”
Ketukan pintu bilikku membuatkan aku terkejut. Ibu masuk merapatiku.
“Marilah
keluar! Mereka mahu kenal angah.” Bisik ibu perlahan. Aku merenung ibu
dengan pandangan yang berkaca-kaca. Ibu mengangguk lembut, terseyum
memandangku sambil jari telunjuknya mengesat air mataku yang mengalir
perlahan. “Sudahlah. Ibu ada bersama angah. Usah takut.” Pujuk ibu
lagi. Aku bangun perlahan seperti tidak bermaya. Mengenakan jubah yang
baru siap aku tempah dan telekong pink. Inilah kali pertama aku
mengenakan jubah. Aku lap mukaku dengan tisu untuk menghilangkan
sisa-sisa air mata.
aku memandang ibu. Ibu mengangguk dan
memimpin tanganku keluar untuk menemui tetamu yang mungkin istimewa.
Aku menundukkan mukaku. Tidak berani untuk melihat siapakah tetamu itu.
Ibu memimpin aku ke ruang tempat kami sentiasa solat. Rupa-rupanya
mereka semua menunggu aku di situ. Aku duduk bersimpuh di sisi ibu dan
diapit oleh kak long serta kak chik. Tetamu itu duduk bersetentangan
denganku. Pada agakkanku, dia sedang memerhatikan gerak-geriku. Aku
tidak berani untuk mengangkat mukaku untuk memandangnya.
“Pak
cik! Izinkan saya untuk bercakap dengan Faridah sekejap.” Tetamu itu
memohon keizinan dari abah. “Silakan.” Keizinan yang diberikan abah itu
membuatkan aku berdebar-debar. Tetamu itu merapatiku dan kini dia
betul-betul bersila di hadapanku. Aku dapat mendengar bunyi nafasnya
dan dapat menciumi bau minyak athar yang dipakainya.
“Ya Allah!
Tenangkanlah hatiku dan tolonglah aku di saat ini. Ya Allah. Aku
benar-benar bermohon kepadamu.” Doa hatiku. “Ustazah Faridah! Jika ini
dinamakan takdir, maka telah tiba masanya ustazah mengenali saya.”
Betulkah suara itu yang aku dengar. Aku belum mampu untuk memandang
wajahnya. Tapi suara itu membuatkan hatiku bergetar.
“Dulu saya bukanlah abang apatah lagi suami ustazah, tapi sekarang saya datang untuk mengambil ustazah sebagai suri hidup saya.”
“Ya
Allah! Benarkah seperti apa yang aku dengar sekarang ini? Ini
benar-benar suara dia. Aku yakin, memang inilah suara dia.” Bisik
hatiku.
‘Sudikah ustazah membukakan pintu hati ustazah untuk
menerima cinta dan kasih sayang saya kerana Allah?” Soalnya perlahan.
Perlahan-lahan aku mendongak mukaku dan pandangan kami bertembung.
“Haikal!” Bisikku perlahan. Dia tersenyum memandangku. Air mataku mula
mengalir. “Ya Allah! Benarlah janjimu terhadapku. Aku menerima
kurniaanmu ini dengan penuh redhaku.”
aku berpaling pada ibu.
Ibu memandangku dengan penuh kasih sayang. Aku memeluknya erat. “Ibu,
angah dah bersedia untuk jadi seorang isteri bu!” Bisikku perlahan. Ibu
memelukku erat tanda akur dengan kehendak dan keputusanku.
(penulis asal)
seruling senja….
-
Artikel ini datangnya dari: Portal Ukhwah http://www.ukhwah.com/…sekadar berkongsi bersama-sama sahabat2 yg lain…sebuah cerpen yg menarik utk tatapan bersama-
-URL untuk Artikel ini: http://www.ukhwah.com/article.php?sid=2098–

September 8th, 2006 at 9:12 pm
adoi.. tersentak jiwa membacanya.. hehe
September 11th, 2006 at 3:20 am
askum, wan fadli…abe nih…hehe..guna frenster amal sebab saye dah boleh kata takde frenster…makin bersemangat nampaknya..teruskan semangat perjuangan anda! ^^